:
PENGENALAN


PENDAHULUAN

Pusat Pendidikan Al-Azhar (PPAZ) merupakan sebuah institusi pendidikan swasta di bawah naungan IKRAM MUSLEH dan berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) serta Jabatan Hal Ehwal Islam Kedah (JHEAIK). Disebalik motto PPAZ iaitu “Komited Melahirkan Insan Rabbani”, tersirat matlamat penubuhan sekolah ini untuk melahirkan remaja yang beriman, bertaqwa, soleh dan musleh serta berketrampilan kearah kecmerlangan hidup di dunia dan akhirat.

 

SEJARAH SEKOLAH

Idea penubuhan sebuah sekolah swasta yang mempunyai pendekatan terhadap matapelajaran Islam di Jitra ini tercetus pada 28 Oktober 1988. Individu-individu yang terlibat dalam pengasasan sekolah ini terdiri daripada Tuan Haji Sayuti Ramli, Abdul Rahman Kassim, Ustaz Imran Abu Bakar Palestin, Mohd Zaki Hanafi, Cikgu Abdullah Abdul Rahman, Haji Saad Mohd dan Wan Muda Wan Yahya.

Pada bulan Ogos 1989. mesyuarat yang diadakan telah menubuhkan Lembaga Tadbir Sekolah (LTS) yang pertama dimana anggotanya terdiri daripada Haji Amiruddin Hamzah (Pengerusi), Muhammad Razak (Timbalan Pengerusi), Dr. Abdul Latif (Bendahari) dan Wan Muda Wan Yahya (Setiausaha), serta Tuan Haji Sayuti Ramli adalah sebagai Penasihat.

Haji Amiruddin Hamzah, Pengerusi LTS pertama telah berhenti kerana menyambung pengajiannya ke peringkat sarjana di Bradford, United Kingdom. Beliau telah digantikan oleh Haji Abdul Rahman Kassim dan tidak lama selepas itu beliau terpaksa menyerahkan tugasnya kerana berhijrah ke Kuala Lumpur. Prof. Madya Wan Muda Wan Yahya telah menggantikannya mulai tahun 1995. Mulai Ogos 2003, teraju kepimpinan LTS disandang pula oleh Tuan Haji Ahmad Kamal Mat Issa sehingga sekarang.

Murid-murid perintis Sek.Ran Al-Azhar adalah seramai 18 orang, 13 oranf di Tahun 1 dan 5 orang di Tahun 2. Sekolah ini bermula di sebuah rumah kayu berkembar di Kampung Pulau Ketam. Setahun kemudian ia berpindah ke sebuah bangunan di atas tapak yang diwakafkan oleh seorang penduduk di Kampung Pulau Nyior. Sekolah Rendah Islam swasta ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari Daerah Kubang Pasu Jitra sehingga ke Negeri Perlis.

Setelah sepuluh tahun, serta dengan bilangan pelajar yang semakin ramai, sekali lagi pada tahun 2000, sekolah ini telah berpindah. Kini, Kompleks Pendidikan Al-Azhar (KPZ) beroperasi di kawasan seluas lebih kurang 10 ekar di Mukim Gelong, Jitra. Sehingga 2 September 2010, sekolah ini mempunyai murid seramai 665 orang.

Kompleks Pendidikan Al-Azhar juga mempunyai Tadika Pra Tahfidz yang ditubuhkan pada tahun 2001. Tadika ini terdiri daripada kanak-kanak berusia 5 dan 6 tahun, dibawah pengendalian empat orang kakitangan. Selain dari pendidikan asas akademik, tadika ini juga mengajarkan Iqra', hafazan dan ibadah solat.

Pendidikan SRAZ menekankan ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi dalam membentuk pelajar melalui sistem pendidikan yang Islami, lengkap dan menyeluruh.

Kini, Kompleks Pendidikan Al-Azhar (KPZ) telah mempunyai 19 kelas dari Tahun 1 hinggalah ke Tahun 6 serta mempunyai kemudahan seperti pusat sumber, padang kantin, asrama, bilik mesyuarat, makmal komputer dan makmal sains.